Pertelagahan, perbalahan dan perpecahan sudah berlaku sejak dulu hasil sifat buruk dan keji yang bersarang di hati. Perpecahan bukan saja berlaku kerana sifat taksub kepada sesuatu golongan malah kerana perkara kecil dan remeh.
Perpecahan juga boleh berlaku hanya kerana sedikit masalah dan berselisih pendapat. Lantaran, jalan perbincangan dan bermusyawarah perlu diadakan jika berlaku sebarang masalah.
Dalam keluarga, masyarakat dan negara, masalah berlaku, namun perundingan sering menemui jalan buntu malah berlarutan walau dunia semakin maju dan zaman turut berubah. Masing-masing saling menyalah antara satu sama lain.
Perkara kecil diperbesarkan, perkara besar disemarakkan dengan api kebencian dan dendam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bukan termasuk dalam golongan kita orang yang menyebar ajakan pada fanatik dan ketaksuban. Bukan golongan kita pula orang yang berperang kerana ketaksuban dan bukan golongan kita pula orang yang mati dalam ketaksuban."
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Jauhi melampau dalam agama, sesungguhnya rosaknya orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama."
Lantaran itu kita dilarang melampau seperti orang terdahulu. Mereka yang beruntung ialah mengambil iktibar daripada sejarah dan pengalaman lalu. Melampau dalam agama meliputi semua jenis iaitu melampau dalam iktikad atau amalan.
Allah berfirman bermaksud: "Janganlah kamu melampau dalam agama kamu." (Surah an-Nisa, ayat 171). Sementara sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Binasalah orang yang berlebihan."
Orang yang berlebih ialah melampau batasan pada perkataan dan perbuatan. Justeru, Nabi SAW melarang setiap perkara berlebihan sama ada dalam beribadat atau berpakaian kerana dianggap terkeluar daripada batas kesederhanaan yang menjadi antara ciri umum bagi Islam dan karektor membezakannya daripada umat lain
Firman Allah yang bermaksud: "Dan demikianlah kami sudah menjadikan kamu umat Islam yang adil dan terbaik supaya kamu menjadi saksi atas segala perbuatan manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Orang yang melampau cepat buruk sangka serta menuduh walaupun sedikit saja sebabnya dan mereka tidak akan memberi peluang kepada orang lain untuk menjelaskan bahkan mencari apa saja aib serta kesalahan untuk disebarkan.
Mereka menjadikan kesilapan sebagai kesalahan dan kesalahan pula sebagai kekufuran. Tidak hairan jika golongan ini sentiasa menafikan orang lain dan hanya pendapatnya yang betul. Dr Yusuf al-Qardawi pernah berkata: "Sesungguhnya keburukan mereka itu ialah prasangka buruk yang masuk ke dalam hati."
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Jauhilah prasangka itu adalah pembicaraan yang paling dusta."
Pada dasarnya semua itu adalah suatu penipuan yang memperdayakan. Penipuan ke atas diri sendiri serta menghina dan merendah orang lain. Di sini bermulanya maksiat kepada Allah iaitu maksiat iblis laknatullah.
Asasnya menipu diri dan takbur. Semua itu sebagai bibit perpecahan dan permusuhan dengan gejala perpecahan adalah malapetaka yang membawa kehancuran bagi umat.
Firman Allah yang bermaksud: "Jangan kamu berpecah-belah, sebab kamu akan lemah dan lenyaplah kekuatanmu." (Surah al-Anfal, ayat 46)
Apabila perpecahan berlaku, ia akan mengakibatkan kehancuran kepada agama dan peradaban. Lantaran itu sejarah keangkuhan iblis dengan Adam atau sejarah perbalahan Qabil dan Habil kerana kedengkian wajar direnung kembali. Juga sejarah perpecahan bangsa Arab kerana fanatik, taksub dan melampau wajar dijadikan iktibar.
No comments:
Post a Comment